Gangguan seksual: PKBM gantung, tukar jurulatih hadapi Sukan SEA Kemboja

Shaiful Shamsudin
April 1, 2023 20:13 MYT
Naib Presiden Dua Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Mohd Saiful Abdul Jalil, memaklumkan badan induk itu sedang meneliti seorang calon jurulatih wanita bagi mengambil alih tugas skuad negara yang akan ke Sukan SEA Kemboja, bulan depan.
Ia susulan kes gangguan seksual melibatkan seorang jurulatih berbasikal bukit ke atas seorang atlet wanita di bawah kendaliannya.
"Insiden itu berlaku bulan lalu dan kejadian itu berlaku di kem latihan berpusat di Nilai dan laporan polis dibuat di Sabah pada 25 Mac.
"Kami sepatutnya melalui fasa latihan pusat kedua di Kundasang pada hari ini. Jadi kami perlu lanjutkan beberapa hari lagi untuk selesaikan masalah ini.
"Selepas bermesyuarat, kami ambil keputusan gantung jurulatih dan melantik jurulatih baru," katanya di Nadi Weekend sebentar tadi.
Jelas Saiful yang juga merupakan pengurus berbasikal bukit negara ke temasya dwitahunan itu, insiden berkenaan sedikit sebanyak menjejaskan persiapan kem kebangsaan yang kini dalam misi untuk mengekalkan satu pingat emas yang diraih dalam acara Rentas desa berpasukan campuran di Vietnam tahun lalu.
Saiful turut mengesahkan bahawa PKBM telah bertindak menggantung jurulatih lelaki berkenaan dengan serta-merta daripada terlibat dengan skuad kebangsaan selagi siasatan belum selesai.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menegaskan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sesekali tidak akan berkompromi isu melibatkan gangguan seksual.
Hannah turut menggesa mana-mana individu yang berdepan gangguan seksual agar tampil membuat laporan dan tidak berdiam diri.
KBS menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) akan menempatkan pegawai pemantau wanita, sekali gus memastikan segala persiapan menuju ke Sukan SEA berjalan lancar.
"Ini satu peringatan yang di luar sana dan kalau ada dimaklumkan, kami akan ambil tindakan tegas.
"Saya tidak kira yang bersalah itu adalah pemain nombor satu negara sekalipun.
"Kalau ada kes seperti ini di mana mereka telah mewujudkan persekitaran tidak selamat, tindakan tegas akan diambil KBS.
"MSN akan memastikan seorang pegawai wanita dilantik agar persiapan dan latihan mereka tidak terganggu," kata Hannah pula.
#Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia #PKBM #Sukan SEA Kemboja
;