Penyerang skuad hoki negara, Faizal Saari, akan menyertai kelab Belanda, Schaerweijde Heren 1, menjelang saingan Liga Belanda bermula 4 September depan.

Faizal akan berlepas ke Belanda pada 8 Ogos ini bagi menjalani persiapan dan mencari keserasian bersama pasukannya menjelang pembukaan liga berkenaan.

Pemergiannya ke Belanda juga menyaksikan dia akan terlepas saigan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh pada 15 November depan.

Bagaimanapun, dia dijangka akan kembali ke pangkuan skuad kebangsaan bagi mengharungi aksi Piala Negara-Negara di Afrika dua minggu kemudian.

"Saya sangat teruja dan tidak sabar untuk bersaing dalam liga di tahap tertinggi seperi itu," katanya kepada Nadi Arena.

"Bagi Piala Sultan Azlan Shah pula, ia tidak melibatkan mata ranking dunia buat skuad negara, jadi saya fikir ia akan menjadi peluang buat atlet yang lebih muda untuk menonjolkan diri.

"Saya berharap dapat belajar banyak perkara di sana agar saya dapat kongsikannya bersama rakan sepasukan saya.

"Kerana saya akan berada di sana lebih daripada tiga bulan, dan pastinya saya akan dapat belajar banyak perkara di sana," katanya.