EURO 2024
EURO 2024: Status Mbappe jadi tanda tanya, peluang terbaik buat Belanda?
Perlawanan tumpuan kumpulan D Euro 2024 di antara Perancis dan Belanda sudah semestinya menjadi perseteruan memukau untuk merebut tempat pertama kumpulan bagi melayakkan diri ke pusingan seterusnya, awal pagi Sabtu.
Kem kebangsaan juara Piala Dunia 2018 itu meluahkan kebimbangan terhadap status penyerang utama mereka, Kyllian Mbappe, yang mengalami kecederaan patah hidung ketika pertemuan menentang Austria di Stadium Merkur Spiel, Selasa lalu.
Persoalan mengenai teka-teki tersebut terus menjadi mainan buah fikiran penyokong Les Blues yang bakal mengharungi aksi panas menjelang perlawanan menentang Belanda.
Presiden Persatuan Bolasepak Perancis (FFF), Philippe Diallo, mahu peminat tempatan menunggu terlebih dahulu sebelum melontarkan pelbagai spekulasi mengenai pemain terbaru Real Madrid itu.
"Kita akan mengetahui tentang berita tersebut sebelum permainan dimulakan kerana buat masa sekarang, ia terlalu awal untuk membuat keputusan," katanya.
Finalis Piala Dunia 2010, Belanda pastinya menarik nafas lega akan kondisi itu setelah tonggak penting Perancis itu sangat memberi ancaman buat mereka namun, skuad kendalian Ronald Koeman itu tetap mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya pemain sandaran seperti Olivier Giroud bakal diturunkan sebagai pengganti untuk merobek gawang mereka.