EURO 2024: Romania akhiri kemarau 24 tahun
Ammar Hakim
Jun 26, 2024 02:08 MYT
Jun 26, 2024 02:08 MYT
Romania dan Slovakia melewati perlawanan terakhir peringkat kumpulan dengan keputusan seri 1-1 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan EURO 2024, keputusan yang menyaksikan kedua-dua pasukan mara ke pusingan 16.
Menyedari keputusan seri cukup untuk membawa pasukan ke peringkat berikutnya, kedua-dua pasukan tidak bermain secara pasif dalam separuh masa pertama. Slovakia menghadirkan ancaman awal menerusi situasi bola mati, ketika Juraj Kucka seharusnya menanduk bola dengan lebih deras apabila mudah diselamatkan Florin Niță.
Mereka bagaimanapun berjaya mendahului perlawanan apabila pemain berusia 37 tahun, Ondrej Duda, menerima hantaran yang cukup cemerlang untuk menanduk bola masuk ke gawang sekaligus menjadi pemain Slovakia pertama menjaringkan gol dalam dua edisi Euro.
Bagaimanapun, Romania bangkit selepas diberikan sepakan penalti apabila kekasaran Dávid Hancko terhadap Ianis Hagi, dan Răzvan Marin tidak melakukan sebarang kesilapan dalam memastikan gol penyamaan terhasil sebelum kedua-dua pasukan menuju bilik persalinan.
Frankfurt hampir menyaksikan kebangkitan Romania, selepas Marin dinafikan gol kedua perlawanan apabila Martin Dúbravka beraksi cemerlang menepis keluar bola. Bagaimanapun, Slovakia turut berpeluang untuk menggandakan jaringan namun mereka gagal menyempurnakannya.
The Falcons bagaimanapun terpaksa akur dengan keputusan seri dengan sasaran utama membawa ke pusingan kalah mati sementara Romania cemerlang menamatkan saingan selaku juara kumpulan mengatasi Belgium.