Pengurus Jerman, Julian Nagelsmann, menegaskan Manuel Neuer kekal sebagai penjaga gol pilihan utamanya untuk Euro 2024 di sebalik pendedahan satu lagi siri kecederaan buat pemain Bayern Munich itu.

Neuer tidak tampil dalam sebarang perlawanan antarabangsa sejak kempen Piala Dunia 2022 negaranya yang suram.

Pemain berusia 37 tahun itu mengalami patah kaki ketika bermain ski sejurus selepas pulang dari Qatar dan kini terlepas perlawanan persahabatan bertemu Perancis, awal pagi esok, dan menentang Belanda minggu depan akibat kecederaan ringan di kaki yang dialaminya ketika latihan.

Justeru, Nagelsmann menjangkakan Neuer yang dalam keraguan untuk perlawanan pertama suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) di Arsenal pada 9 April depan perlu diketepikan sekurang-kurangnya 10 hari.

Ditanya sama ada rekod kecederaan penjaga gol baru-baru ini telah memaksanya untuk memikirkan semula percaturannya menjelang Kejohanan Eropah musim panas ini dengan Jerman sebagai tuan rumah, ketua jurulatih itu memberitahu sidang akhbar: "Keputusan telah dibuat."



Penjaga gol Barcelona, Ter Stegen, akan memainkan peranan utama mengekang Les Bleus di Lyon dan apabila berdepan Belanda di Frankfurt.

Pemain Fulham, Bernd Leno, dan penjaga gol Hoffenheim, Oliver Baumann, juga dalam senarai berpotensi untuk mengambil-alih peranan di depan gawang.

"Neuer tercedera tetapi ia hanya melibatkan koyakan kecil," kata Nagelsmann.




“Dia tidak perlu diketepikan selama lapan bulan.

“Ia akan menjadi hanya 10 hari dan dia akan mempunyai berpeluang untuk kembali.

“Kami bertuah kerana mempunyai penjaga gol kedua dengan kualiti luar biasa yang boleh beraksi dalam kedua-dua perlawanan.”