EURO 2024: Martinez tabik Cristiano Ronaldo, Diogo Costa pacu Portugal
Julai 1, 2024 06:45 MYT
Roberto Martinez memberi penghormatan kepada karakter yang ditonjolkan Cristiano Ronaldo dan wira dalam penentuan penalti, Diogo Costa, selepas Portugal berjaya mara ke suku akhir EURO 2024.
Juara 2016 itu berdepan debaran untuk menumbangkan Slovenia yang mengekang mereka sepanjang 120 minit di Arena Frankfurt, awal pagi tadi, dan sebahagian besarnya hasil daripada ketangkasan Jan Oblak di depan pintu gol.
Oblak yang mewakili kelab Atletico Madrid itu membuatkan Ronaldo menangis apabila dia menyelamatkan sepakan penalti dalam separuh masa pertama masa tambahan.
Bagaimanapun, kapten Portugal itu menebusnya dalam penentuan sepakan penalti sebelum Diogo Costa mempamerkan kehebatannya.
Penjaga gol Porto itu, yang menafikan percubaan Benjamin Sesko dalam babak kedua masa tambahan, kemudian menepis ketiga-tiga sepakan Slovenia yang dilakukan Josip Ilicic, Jure Balkovec dan Benjamin Verbic.
Lantas, Martinez amat mengagumi usaha kedua-dua pemain tersebut.
"Ronaldo terlepas sepakan penalti dan kemudiannya menjadi penentu apabila dia memulakan penentuan sepakan penalti, dia membuka jalan," kata ketua jurulatih Portugal itu kepada EURO2024.com.
Ice in his veins. ??#PartilhaAPaixão | #EURO2024 pic.twitter.com/OL1Xfz20vV
— Portugal (@selecaoportugal) July 1, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Ini merupakan satu kemenangan demi perpaduan, dari bilik persalinan lagi dan Cristiano adalah kapten kami. Dia membuktikan bahawa dalam kehidupan dan dalam bola sepak, ada saat-saat sukar dan kami tidak boleh berputus asa, kami perlu meneruskan perjuangan dan ini merupakan satu contoh apabila keadaan tidak berjalan dengan baik.
"Kami beraksi dengan sangat baik. Kami memiliki tenaga, kekuatan serta bersemangat sejak dari di bilik persalinan, dan untuk memenangi perlawanan seperti ini adalah luar biasa."