EURO 2024
EURO 2024: Gol ajaib Lamine Yamal buatkan Rabiot terduduk malu
Lamine Yamal puas dengan jaringannya yang membawa Sepanyol ke perlawanan akhir EURO 2024, selepas keraguan Adrien Rabiot dari Perancis terhadap impaknya dalam kejohanan tersebut.
Yamal menjaringkan gol ajaib dalam kemenangan 2-1 Sepanyol ke atas Perancis dengan percubaan yang cantik melepasi Mike Maignan untuk menggegarkan jaring. Dengan jaringan tersebut, beliau kini telah mengatasi rekod Pele dari Brazil sebagai penjaring gol termuda dalam kejohanan terbesar (Piala Dunia/EURO) pada usia 16 tahun 362 hari.
Gol tersebut bukan sahaja penting dalam menyamakan kedudukan menentang Perancis, ia juga untuk melunaskan dendam yang manis terhadap salah seorang pemain Perancis yang meraguinya, Adrien Rabiot.
Iklan
Sebelum perlawanan, pemain tengah Perancis itu memberi pandangan mengenai Yamal, "Jelas ia mungkin sukar baginya untuk menghadapi perlawanan separuh akhir dalam pertandingan yang besar," kata Rabiot. "Tugas kami adalah untuk menekan beliau dan mengeluarkannya dari zon selesa. Dan untuk mencapai final di Eropah, beliau perlu melakukan lebih daripada yang dilakukan sebelum ini."
Yamal dilihat mengambil perhatian terhadap komen Rabiot dan memuat naik hantaran Instagram sebelum perlawanan dengan berkata, "Bergerak secara senyap, hanya bercakap apabila tiba masanya untuk mengatakan 'ia sudah berakhir', di mana hantaran tersebut dilihat seperti memberi jawapan kepada komen Rabiot.
Untuk menguatkan lagi motif tindakannya, Rabiot adalah pemain yang mengawal ketat Yamal sebelum beliau menjaringkan gol cantik menerusi kaki kiri.
Selepas Sepanyol menyingkirkan Perancis, beliau berkata sesuatu kepada kamera: "Cakaplah sekarang! Cakaplah sekarang!". Satu tindak balas yang ditujukan kepada Rabiot atas ketelanjuran kata-katanya.
Yamal akan menyambut ulang tahun ke-17 pada hari Sabtu, sehari sebelum perlawanan akhir EURO 2024 di mana Sepanyol akan bertemu sama ada England atau Belanda.
Must-Watch Video