Ketua jurulatih England, Gareth Southgate, tidak akan bercakap dengan mana-mana pihak yang berminat dengan khidmatnya hingga selepas Euro 2024 berakhir sambil melabel spekulasi mengaitkannya ke Manchester United sama sekali tidak menghormati Erik ten Hag.

Musim panas ini merupakan temasya keempat dan terakhir pengurus berusia 53 tahun itu mengendalikan pasukan kebangsaan dengan kontraknya bersama Persatuan Bolasepak akan tamat pada Disember depan.

Southgate berkata perbincangan kontrak masih jauh daripada topik dengan tumpuan penuhnya adalah untuk memacu kejayaan England di Jerman, namun dia tidak terlepas daripada tempias desas-desus jawatan di kem Manchester United.

"Saya rasa ada dua perkara dari sudut pandangan saya,” katanya.




“Yang pertama, saya ialah pengurus England. Saya mempunyai tugas dan pada asasnya, untuk mencuba dan menjulang Kejohanan Eropah. Tetapi sebelum itu, dua perlawanan penting minggu ini menjadi tumpuan kami.

"Dan perkara keduanya ialah Manchester United masih mempunyai pengurus dan saya fikir adalah satu langkah yang tidak sopan apabila spekulasi itu mengenai pengurus sedia ada.

"Saya presiden LMA (Persatuan Pengurus-Pengurus Liga) jadi saya benar-benar tiada masa untuk melayani perkara seperti ini."