Ketua jurulatih England, Gareth Southgate, berpuas hati dengan keputusan Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) yang tidak menggantung Jude Bellingham.

Semalam, Bellingham didenda €30,000 dan dikenakan penggantungan satu perlawanan yang ditangguhkan setahun, bergantung kepada tingkah lakunya.

Bellingham dikesan telah berkelakukan tidak sopan ketika meraikan jaringan memukaunya untuk mengikat Slovakia 1-1 dalam pusingan 16 EURO 2024.

The Three Lions kemudian meraih kemenangan 2-1 dalam masa tambahan sambil Bellingham menegaskan di media sosial bahawa sambutan itu tidak bertujuan mengejek kem seteru mereka tersebut.

Dan setelah UEFA menghukum pemain berusia 21 tahun itu, Southgate percaya badan induk tersebut telah mengendalikan situasi berkenaan dengan baik, lantas khidmat Bellingham boleh dipertaruhkan untuk pertembungan England dengan Switzerland, tengah malam ini.

"Saya fikir ia adalah satu keputusan yang masuk akal," kata Southgate.


"Apabila anda menjaringkan gol daripada kualiti seperti itu, pada usianya, semangatnya menjadi membuak-buak.



"Tiada niat lain dalam isyarat sambutan golnya itu yang menuju kepada sesiapa melainkan komunikasi membabitkan dia dan keluarganya.

"Daripada perspektif kami, ia adalah satu hukuman yang masuk akal."