EURO 2024
EURO 2024: Eduardo Camavinga tenang tunggu peluang barisi Perancis
Eduardo Camavinga tidak berpuas hati dengan peranan terhadnya sepanjang mewakili Perancis dalam EURO 2024,tetapi berikrar akan terus bersabar menunggu peluangnya.
Camavinga merupakan tonggak utama di Real Madrid ketika membantu mereka memenangi Liga Juara-Juara (UCL) dan LaLiga pada 2023-24 apabila sudah terlibat dalam 2,825 minit permainan menerusi 46 perlawanan, 32 daripadanya dalam kesebelasan utama.
Bagaimanapun, dia gagal mengukuhkan tempatnya di bahagian tengah Perancis yang di bawah bimbingan Didier Deschamps memandangkan N'Golo Kante lebih menjadi pilihan untuk bergandingan di samping Aurelien Tchouameni dan Adrien Rabiot.
Camavinga hanya beraksi selama 48 minit selepas dimasukkan sebagai pemain gantian ketika bertemu Austria dan Poland di peringkat kumpulan dan dijangka akan memanaskan bangku simpanan menjelang pertembungan pusingan 16 dengan Belgium, tengah malam Selasa ini.
Bercakap dalam sidang akhbar malam tadi, pemain berusia 21 tahun serba boleh itu mengakui tidak berpuas hati dengan situasi semasa tetapi percaya peluangnya akan tiba jua.
"Ini bukan satu perkembangan positif buat saya. Saya tidak kerap bermain jadi semestinya tidak membuatkan saya gembira," katanya.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Apa pun saya tahu satu hari nanti, detik saya akan tetap tiba. Saya cuma perlu bersedia, seperti dalam Piala Dunia apabila jurulatih meminta saya beraksi dalam final.
"Saya perlu bersedia ketika dalam sesi latihan. Saya masih melakukan rutin yang sama sebelum perlawanan seperti mendengar muzik dan memanaskan badan.
"Jika fikiran saya tepat maka kaki saya akan mengikut rentaknya. Sesebuah pertandingan tidak hanya dimainkan dengan 11 pemain. Perkara yang paling penting ialah fokus sehingga tamat."