Euro 2020: Tomas Trucha seru bekas anak didik Patrik Schick gondol Kasut Emas
Shaiful Shamsudin
Julai 3, 2021 20:03 MYT
Julai 3, 2021 20:03 MYT
Pengendali Penang FC, Tomas Trucha, menyokong penyerang berbisa Republik Czech, Patrik Schick, untuk menggondol Kasut Emas Euro 2020 sambil mengimbau detik membimbing pemain berumur 25 tahun itu.
Trucha selaku warganegara Republik Czech sudah pasti akan memberikan tumpuan penuh pertemuan negaranya dengan Denmark dalam suku akhir, sebentar lagi.
Penggempur Bayer Leverkusen itu telah meledak empat gol sepanjang kejohanan yang tertangguh setahun ini dan jelas sekali Trucha turut berbangga dengan pencapaiannya bekas anak buahnya itu.
"Saya pernah mengendalikan Patrik Schick di Bohemians 1905 ketika dia berusia 19 tahun. Dia pernah dibimbing saya.
"Kami mengadakan latihan tambahan tiga kali seminggu dan setahun kemudian, dia berpindah ke AS Roma. Saya sangat bangga dengannya.
"Dia telah beraksi dengan baik dan saya harap dia dapat menambah 2-3 gol lagi untuk muncul sebagai penjaring terbanyak.
"Ini bermakna mereka perlu mara (ke separuh akhir)," katanya dalam Nadi Weekend sebentar tadi.
Begitupun, Republik Czech perlu melipat gandakan usaha mereka sekiranya berhasrat melangkah lebih jauh berikutan Denmark memiliki azimat untuk mempamerkan semangat juang tinggi.
"Denmark menempuhi peristiwa Christian Eriksen (serangan jantung) jadi mereka pasti akan berjuang untuk membawa kejayaan buatnya.
"Saya jangkakan perlawanan yang sengit, peluang 50-50 buat kedua-dua pasukan.
"Mungkin satu gol akan memisahkan kedua-dua pasukan, atau 0-0 mahupun penentuan sepakan penalti."