EURO

Euro 2020: Modric 'rasa pahit' selepas Croatia seri dengan Republik Czech

Muzaffar Musa 19/06/2021 | 02:07 MYT
Luka Modric "berasa pahit' sebaik Croatia terikat 1-1 dengan Republik Czech dalam Euro 2020 dan terpaksa menunggu sehingga perlawanan terakhir peringkat kumpulan untuk mengesahkan kemaraan.
Naib juara 2018 itu tewas 0-1 kepada England dalam perlawanan pembukaan Kumpulan D dan ketinggalan kepada Republik Czech dalam separuh masa pertama perlawanan kedua malam tadi.
Penyerang Republik Czech, Patrik Schick, menjaringkan gol sepakan penalti kontroversi selepas Dejan Lovren kelihatan secara tidak sengaja menyiku hidungnya sehingga berdarah dan pengadil, Carlos del Cerro Grande, mengambil keputusan untuk memberikan sepakan penalti itu selepas semakan video bantuan pengadil (VAR).
Ivan Perisic menyamakan kedudukan dua minit selepas babak kedua bersambung tetapi Croatia kekurangan kualiti untuk memenangi perlawanan di Hampden Park itu.
Perisic menjadi pemain Croatia pertama menjaringkan gol dalam empat kejohanan utama dan dia mungkin perlu memberikan sesuatu yang Istimewa di Glasgow minggu depan seandainya tidak mahu pasukannya tersingkir awal.
Croatia akan berdepan satu lagi pasukan yang memerlukan kemenangan, Scotland, dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan dan Modric kecewa kerana mereka telah mensia-siakan dua peluang untuk meraih kemenangan.
Kapten Croatia itu berkata: "Ia memberikan sedikit rasa pahit selepas perlawanan ini kerana kami tidak menang. Kami memulakan perlawanan ini dengan tidak tersusun tetapi kami kelihatan lebih baik dalam separuh masa kedua.
"Kami menjaringkan gol itu dan sepatutnya boleh menjaringkan lebih banyak gol tetapi malangnya kami tidak dapat melakukannya.
"Kini, kami perlu menewaskan Scotland untuk meneruskan kemaraan," katanya.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Perisic sedar Croatia perlu meningkatkan standard mereka selepas permulaan goyah yang dipamerkan dalam perlawanan itu.
Dia berkata: "Kami tidak bermain baik, itu sahaja. Saya tidak tahu sebabnya. Kami memulakan perlawanan ini dengan buruk, kami kemudian menjaringkan gol tetapi perlu melakukan sesuatu yang jauh lebih baik ketika menentang Scotland".
#bola sepak #Luka Modric #Croatia #Ivan Perisic #Republik Czech #EURO 2020
;