EURO
Euro 2020: Low jengkel Jerman sia-siakan detik keemasan
Joachim Low berpendapat peluang keemasan Thomas Muller dari jarak dekat sebagai detik penting dalam kekalahan 0-2 kepada England, sebentar tadi.
Perjuangan Jerman dalam Euro 2020 bukan sahaja tamat, malah karier 15 tahun Low mengetuai kem Jerman juga bakal berakhir.
Gol sumbangan Raheem Sterling dan Harry Kane di Stadium Wembley dalam separuh masa kedua memastikan pasukan kendalian Gareth Southgate itu menempah slot ke suku akhir.
Iklan
Tetapi selepas meledak gol ketiga peribadinya dalam edisi kali ini, penyerang Manchester City itu membuat hantaran buruk ke belakang tanpa menyedari kedudukan Muller.
Bintang berpengalaman Bayern Munich itu kemudian meluru sambil melepasi Jordan Pickford dan kelihatan mampu merobek gawang lawan, sebaliknya percubaan hanya sia-sia.
"Kami gagal memanfaatkan dua peluang terbaik yang kami miliki menerusi Muller dan Timo Werner," katanya.
"Jelas tiada pasukan yang ingin mengambil terlalu banyak risiko terutama di bahagian pertahanan dengan harapan tidak banyak peluang yang boleh dicipta pihak lawan.
"Tetapi anda perlu mengambil kesempatan dan klinikal sekiranya ingin berjaya. Pasukan England dapat menjaringkan gol pertama sedangkan kami gagal menterjemahkan peluang, ia menyukarkan kami.
"Kami patut dapat mengubah nasib perlawanan dengan peluang yang Muller miliki, tetapi pihak lawan pula yang menjaringkan gol kedua hingga menyempitkan peluang kami untuk mengubah kedudukan perlawanan.
"Kami tidak cukup berkesan (di depan pintu gol). Kami perlu matang sebagai sebuah pasukan untuk lebih berjaya."
![](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/http://stadiumastro-kentico.s3.amazonaws.com/stadiumastro/media/sa-images/2021/06-june/30/jerman.jpeg)
Kedudukan Low selepas kejohanan benua ini sudah dimaklumkan sebelum sepak mula.
Sejak mengambil alih jawatan itu daripada Jurgen Klinsmann pada 2006, Low memimpin Jerman ke final Euro 2008, separuh akhir Piala Dunia 2010 dan Euro 2012 sebelum mendakap trofi Piala Dunia 2014.
Pasukan muda Die Mannschaft bimbingannya kemudian menjulang Piala Konfederasi 2017 tetapi terkandas dalam separuh akhir Euro 2016.
Prestasi mereka makin merudum apabila gagal keluar dari peringkat kumpulan di Russia bagi mempertahankan gelaran Piala Dunia, justeru Low kesal tidak dapat mengembalikan momentum hangat mereka.
"Buat masa ini saya belum mengambil sebarang keputusan," jawabnya ketika ditanya mengenai langkah selanjutnya.
"Ketika membuat keputusan untuk mengundurkan diri selepas kejohanan ini, saya mempunyai pemikiran yang berbeza pada masa itu.
"Kita sama-sama lihat apa yang akan terjadi selepas ini. Selepas 15 tahun menggalas tanggungjawab ini, saya perlu berehat sebentar.
"Akan ada masanya anda perlu mendapatkan tenaga baru bagi satu projek yang lain. Buat masa ini, saya belum mempunyai rancangan konkrit."
Must-Watch Video