Euro 2020: Denmark terbang tinggi dalam suku akhir
Shaiful Shamsudin
Julai 3, 2021 04:05 MYT
Julai 3, 2021 04:05 MYT
REPUBLIK CZECH 1 DENMARK 2
Gol kelima Patrik Schick dalam Euro 2020 belum cukup untuk memberi inspirasi kebangkitan ketika Denmark menumbangkan Republik Czech 2-1 untuk menembusi separuh akhir.
Schick kini setaraf Cristiano Ronaldo dalam senarai teratas penjaring terbanyak ketika menemui sentuhan penyudah kelima dalam awal babak kedua pertembungan di Baku, sebentar tadi.
Namun, dia tidak akan memiliki kesempatan lagi untuk menambah koleksinya itu selepas dibayangi persembahan mengagumkan seteru suku akhir tersebut yang menggegar gawang menerusi Thomas Delaney dan Kasper Dolberg dalam separuh masa pertama , sekali gus memastikan Denmark mencapai separuh akhir buat julung kalinya sejak memenangi edisi 1992 .
Pasukan dikemudi Kasper Hjulmand itu -- yang telah mengumpul 11 gol untuk menyamai rekod Sepanyol -- akan menghadapi England atau Ukraine di peringkat seterusnya.
Kira-kira 1,500 penyokong Denmark yang mengembara ke Baku hanya perlu menunggu selama lima minit untuk meraikan jaringan pertama perlawanan itu.
Sepakan penjuru Jens Stryger Larsen pada awalnya menjadi topik pertikaian yang ternyata menjadi duri dalam daging apabila ditanduk masuk oleh Delaney yang tidak dikawal.
Pada hari ulang tahunnya yang ke-21, Mikkel Damsgaard, gagal memperdayakan Tomas Vaclik dari jarak dekat sebelum gabungan Stryger Larsen dan Delaney melepaskan satu lagi peluang berharga yang berakhir liar.
Bagaimanapun, Dolberg tidak mengulangi kesilapan itu apabila menyempurnakan umpanan silang Joakim Maehle dari sebelah kiri, tiga minit menuju bilik persalinan.
Pendahuluan 2-0 itu tidak memudarkan api perjuangan Republik Czech hingga memaksa penjaga gol Denmark, Kasper Schmeichel, bertindak cemerlang mematahkan percubaan Antonin Barak disusuli hadangan Simon Kjaer bagi menutup rembatan Schick.
Tekanan yang dijelmakan Republik Czech itu akhirnya mula menampakkan hasil pada minit ke-49 untuk merapatkan jurang selepas Schick membuat tendangan awal ketika menyambut hantaran leret Vladimir Coufal.
Tomas Soucek kemudian bertindak berani ketika menutup ruang buat Yussuf Poulsen, namun kecederaan Ondrej Celustka membuatkan mereka sedikit pincang.
Poulsen terus dikecewakan di depan pintu gol Republik Czech sambil Kjaer bertindak cemerlang mempertahankan kubunya, tidak lama selepas itu.
Sebaik Schick perlu digantikan akibat kecederaan, tugas Denmark untuk menempah tiket ke Stadium Wembley, Khamis depan, menjadi lebih mudah di Wembley.