Perlawanan di antara Denmark dan Finland terhenti sebelum separuh masa pertama berakhir selepas pemain tengah tuan rumah, Cristian Eriksen, yang sedang lincah beraksi tiba-tiba rebah di padang Stadium Parken, Copenhagen, sebentar tadi.

Kejadian perlawanan Kumpulan B pada minit ke-42 itu menyaksikan Denmark mendapat lontaran ke dalam berdekatan kubu lawan, namun Eriksen yang meluru untuk menyambut balingan itu tanpa diberi tekanan pihak lawan tiba-tiba terjatuh dan tidak sedarkan diri.

Tragedi yang menimpa tonggak Inter Milan itu membuatkan kedua-dua pasukan tergamam sebelum pemain Denmark mengelilingi rakan sepasukannya tersebut yang terbaring mendapatkan rawatan selama 10 minit sementara pengadil mengambil keputusan untuk tidak melanjutkan babak pertama.

Namun, situasi sebenar Eriksen belum dapat dipastikan lagi sambil penyokong di stadium terkejut hingga ada yang mengalirkan air mata.

Pengadil kemudian mengesahkan perlawanan itu akan digantung.