Skip to main content

Bola Sepak

Empat pertembungan menarik England-Itali di Wembley

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

2_60888488.jpg
Laluan kelayakan England ke Euro 2024 diteruskan awal pagi esok apabila mereka melayan kunjungan Itali di Wembley.

Kemenangan menentang Azzurri akan memastikan pasukan Gareth Southgate layak ke kejohanan tahun depan di Jerman.

Mari kita lihat beberapa pertemuan yang tidak dapat dilupakan antara kedua-dua pihak di Wembley.

Final Kejohanan Eropah – 2021

Pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan di bawah gerbang itu berlaku pada 2021 apabila impian England untuk merangkul trofi utama lebur selepas ditewaskan dalam penentuan sepakan penalti.

Skuad bimbingan Southgate bermula dengan cemerlang menerusi jaringan awal Luke Shaw, tetapi Leonardo Bonucci menyamakan kedudukan untuk Itali ketika perlawanan memasuki masa tambahan sebelum berakhir dengan sepakan penalti.

Penjaga gol, Jordan Pickford menyelamatkan sepakan penalti daripada Andrea Belotti dan Jorginho, namun percubaan Marcus Rashford terkena tiang sebelum Jadon Sancho dan Bukayo Saka dinafikan oleh Gianluigi Donnarumma ketika Itali memperoleh kemenangan penentuan 3-2 dan menjulang kejuaraan Eropah.

Kelayakan Piala Dunia - 1997

Berhasrat untuk layak ke Piala Dunia pertama mereka sejak Itali 1990, England diundi dalam kumpulan bersama Itali ketika mereka menyasarkan untuk mendapatkan tempat dalam edisi 1998 di Perancis.

Cesare Maldini menyelia pasukan Itali bermain di Wembley pada 1997 dan jaringan Gianfranco Zola pada minit ke-19 sudah memadai untuk pelawat mengutip tiga mata.

England akhirnya menjuarai peringkat kumpulan kelayakan dengan keputusan seri bersejarah menentang Azzurri di Rom.

Kekecewaan kelayakan Piala Dunia - 1977

Begitu juga dengan kejohanan 1998, kelayakan England untuk Piala Dunia 1978 menyaksikan mereka diundi dalam kumpulan bersama Itali.

Selepas tewas perlawanan pertama mereka 2-0 di Rom, England mengalu-alukan Azzurri ke Wembley 12 bulan kemudian pada November 1977.

Beraksi di bawah pengurus, Ron Greenwood, Kevin Keegan membuka jaringan untuk tuan rumah sebelum Trevor Brooking menggandakan pendahuluan untuk memastikan kemenangan 2-0.

Walaupun menang, England tidak layak ke kejohanan 1978 di Argentina kerana Itali memperoleh kemenangan 3-0 menentang Luxembourg untuk mengungguli kumpulan kelayakan dengan perbezaan gol.

Perlawanan terakhir Bobby Moore - 1973

Kapten England yang memenangi Piala Dunia membuat penampilan antarabangsa terakhirnya menentang Itali pada 1973.

Ia melengkapkan kerjaya England yang cemerlang untuk Moore, yang mengetuai pasukannya menjulang Piala Dunia pada 1966 dan menjadi ketua pasukan sebanyak 90 kali.

Bagaimanapun, penampilan England ke-108 dan terakhirnya berakhir dengan kekalahan dalam pertembungan persahabatan menentang Azzurri, yang menang 1-0 hasil jaringan Fabio Capello -- bakal pengurus England antara 2007 dan 2012.

Advertisement

Must Watch Video