Hasrat untuk melihat skuad ekuestrian menambah pingat emas Sukan SEA ke-29 hari ini tidak kesampaian apabila dinafikan oleh wakil Filipina, Colin Syquia, dalam penentuan kilauan pingat acara show jumping di Pusat Ekuestrian 3Q, Rawang.
Dalam saingan dua pusingan itu, Syquia yang menunggang Adventure E, mencatat masa 37.63 saat untuk mengatasi saingan dua atlet negara, termasuk penyandang juara, Qabil Ambak Mahamad Fathil.
Peserta negara, Sharmini Christina, meraih perak dengan catatan 41.30s manakala Qabil Ambak terpaksa berpuas hati untuk mengakhiri saingan di kedudukan ketiga (41.44s).
Aksi sengit sememangnya ketara sebaik selesai pusingan kedua yang menyaksikan juara terpaksa ditentukan menerusi jump off.
Lima ekuin dari Filipina, Malaysia, Brunei dan Singapura meneruskan saingan dalam jump off selepas melalui clear round dalam pusingan pertama dan kedua.
Qabil yang merupakan ekuin kedua dalam aksi jump off berjaya mengatasi ekuin dari Brunei, Pengiran Nasir Mohd , menerusi kelajuan 41.66 saat.
Bagaimanapun, kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Syquia terlalu pantas dan mudah mengatasi Qabil.
"Oleh kerana dalam pusingan jum poff saya terpaksa beraksi dahulu, jadi saya mengambil pendekatan selamat. Selalunya penunggang terakhir akan mendapat kelebihan kerana dapat menyaksikan penunggang lain dahulu.
"Tetapi, saya gembira dengan kuda saya kerana ia agak muda. Ini satu pengalaman yang baik untuknya," ujar Qabil.
Hasrat untuk melihat kejutan daripada Chistina Sharmini juga tidak menjadi apabila tunggangannya, Arcado L, hanya berjaya mencatat masa kedua terpantas.
"Qabil merupakan penunggang kedua dan Colin penunggang ketiga, ketika Colin keluar beraksi kami sedar bahawa pingat emas belum dalam genggaman kami," ujarnya.
Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.
Stadium Astro
Mon Aug 28 2017