Hari ini menjadi hari penuh gemilang buat arena sukan negara apabila dua ikon, Leong Mun Yee (terjun) dan Abdul Latif Romly (lompat jauh para) dikurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan, Panglima Mahkota Wilayah, yang membawa gelaran Datuk.

Mun Yee, yang ditemu bual wartawan Nadi Arena, Adam Zamri, selepas penerimaan gelaran itu, berkata dia mahu terus menyumbang buat arena sukan negara biarpun tidak lagi bergelar atlet.

"Saya amat berterima kasih kerana diberikan penghargaan hari ini.

"Sebenarnya saya sudah menyertai sukan terjun sejak 23 tahun lalu, jadi memang agak lama.

"Saya amat berterima kasih dan berjanji akan terus memberikan sumbangan buat negara biarpun bukan lagi sekadar atlet -- mungkin sebagai jurulatih," katanya.

Sebagai rekod, Mun Yee merupakan atlet negara melakukan penampilan paling banyak di pentas Sukan Olimpik, di mana dia pernah beraksi dalam lima edisi temasya itu (2000, 2004, 2008, 2012 dan 2020).