SERIE A

Covid-19: Aksi bulan depan terlalu awal buat Serie A

Shaiful Shamsudin 17/03/2020 | 04:17 MYT
Semua pilihan untuk menghabiskan musim Serie A masih dibincangkan tetapi cadangan sepak mula musim baru sebaik tempoh kawalan pergerakan bulan depan berakhir adalah tidak realistik, kata Presiden Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC), Gabriele Gravina.
Kerajaan Itali telah mengharamkan semua perhimpunan awam sehingga 3 April depan dalam usaha mengekang penyebaran koronavirus baru (Covid-19) yang teruk melanda negara.
Angka terkini menunjukkan hampir 25,000 kes positif dan wabak itu telah meragut 1,809 nyawa.
Serie A digantung berikutan pandemik itu manakala pegawai bola sepak sedang menimbangkan segala kemungkinan untuk mengakhiri kempen liga musim ini.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Juara mungkin ditabalkan menerusi keputusan sepanjang tempoh dua musim ini dengan menggunakan sistem play-off bahkan musim ini mungkin tidak menawarkan Scudetto, kata Gravina.
"Saya tidak menolak sebarang cadangan," katanya kepada Radio Anch'io Sport.
"Kami harus cuba mengetengahkan idea yang paling optimistik: iaitu cara untuk menamatkan saingan ini. Antara cadangannya ialah kemungkinan tidak menyerahkan gelaran, membekukan pendapatan atau menggunakan play-off.
"Sekiranya tidak dapat melengkapkan kempen musim ini maka kami akan mempertimbangkan keputusan lain. Kami juga tidak mengecualikan kejuaraan musim ini dan juaranya boleh ditentukan dengan mengambil kira prestasi dalam dua musim yang berbeza.
"Saya faham wujudnya sifat ingin tahu yang tinggi, perhatian terarah kepada kaedah untuk mengakhiri kempen ini dengan cara yang terbaik, tetapi tiada sesiapa pun pada hari ini yang dapat meramalkan masa depan."
"Kami berlayar dalam kesamaran," katanya.
"Kami memikul (arahan kerajaan) yang membawa kami kepada 3 April depan, tetapi masih terlalu awal memikirkan untuk memulakan semua aktiviti dengan segera, bukan setakat sukan semata-mata.
"Atas sebab itu, saya mencadangkan saingan disambung pada awal Mei walaupun ini hanya merupakan tarikh rujukan sahaja. Kami perlu memberi rujukan kepada diri sendiri kerana jika tidak, kami akan mendapati diri dalam keadaan tidak bersedia."
Gravina akan meminta UEFA supaya menangguhkan Kejohanan Euro 2020 dalam pertemuan bersama pemegang taruh yang melibatkan wakil persekutuan, liga dan kelab utama hari ini.
Perebutan mahkota Serie A mendapat perhatian memandangkan juara bertahan, Juventus, hanya mendahului Lazio di puncak dengan satu mata.
#Serie A #Covid-19 #Presiden Persekutuan Bolasepak Itali
;