Skuad bola keranjang wanita negara hanya perlu mengatasi Thailand dalam aksi terakhir esok selepas membelasah Myanmar 145-53 di Stadium MABA hari ini, sekaligus mengekalkan rekod bersih selepas lima perlawanan setakat ini.

Malaysia berjaya mengatasi halangan terbesar, Filipina, 60-56 kelmarin bagi memudahkan misi mempertahankan emas yang dimenangi dalam Sukan SEA Singapura dua tahun lalu.

Malaysia mendahului perlawanan sejak suku pertama 28-21 sebelum menamatkan aksi suku kedua 57-33.

Skuad bimbingan Yong Sze Yuin itu meneruskan kecemerlangan dalam suku ketiga dengan jurang besar 102-45 sebelum mengesahkan kemenangan 145-53 dengan mata terakhir hadir dengan penuh gaya, menerusi lontaran tiga mata Wong Mei Chyn -- yang turut menyumbang 23 mata.

Skuad negara menyempurnakan 23 daripada 47 lontaran tiga mata -- yang tertinggi setakat ini berbanding empat perlawanan lain -- di samping menyumbat 16 daripada 21 lontaran percuma.

Kelonggaran corak bertahan Myanmar turut membenarkan skuad negara melakar 38 assist dan 21 steals berbanding Myanmar (9 assist, 3 steals).

Power forward, Ooi Poh Yee, paling mencuri tumpuan apabila mengutip 34 mata, diikuti Tai Chia Qian dengan 26 mata.

Htet Myat Lin menjadi penyumbang utama buat Myanmar apabila mencatat 13 mata.

Yong enggan anak buahnya terlalu memikirkan emas sebaliknya terus mengalihkan fokus dalam melakar kemenangan ke atas Thailand.

"Kami perlu menyaksikan persembahan Thailand berdepan Indonesia. Jika Indonesia menang, kami boleh menjadi juara secara automatik. Kami perlu bersedia untuk berdepan Thailand pada esok.

"Thailand adalah pasukan yang kuat. Pemain-pemain mereka berkualiti serta memiliki tahap fizikal yang baik. Kami perlu meningkatkan tahap permainan kami bagi menyukarkan mereka dalam aksi final nanti," jelas Yong.

Sementara itu, skuad lelaki negara menamatkan aksi di tempat kelima selepas mengatasi Vietnam dalam perlawanan penentuan tempat kelima dan keenam, hari ini.

Skuad kendalian Goh Cheng Huat tidak berdepan masalah sejak daripada suku pertama untuk mencatat kemenangan 93-64 dengan pemain centre Chee Li Wei mencuri tumpuan apabila melakukan aksi slam dunk dalam suku keempat.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.