Bekas pemain perseorangan badminton negara, Roslin Hashim, menyifatkan India lebih berani mengetengahkan pemain-pemain muda sehingga menyaksikan mereka mampu memenangi pingat emas acara berpasukan campuran dalam Sukan Komanwel Gold Coast, semalam.
Acara itu secara tradisinya milik Malaysia sejak memenanginya dalam edisi Melbourne 2006.
Malah, rekod pertemuan sebelum ini turut memihak kepada negara, dengan kali terakhir kemenangan 3-2 dilakar di peringkat kumpulan Piala Sudirman 2015 di Dongguan, China.
Begitupun, Roslin berpandangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, India lebih menumpukan kepada peningkatan pemain-pemain muda berbanding Malaysia yang masih kekal menyandarkan harapan kepada pemain senior.
"Banyak yang harus kita belajar kerana rata-rata pemain muda India seperti (Satwiksairaj) Rankireddy. Dia yang bermain dalam beregu campuran dan beregu lelaki begitu bertenaga. Dia baru berusia 17 tahun.
"Di sini kita lihat secara positif kebangkitan India yang menurunkan pemain teramat muda," katanya.
Sementara itu, seorang lagi bekas pemain perseorangan negara, Datuk James Selvaraj, menganggap India mempunyai semangat juang yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan skuad negara.
"Kita harus menjadi harimau di dalam gelanggang. Saya sungguh kecewa ketika menyaksikan perlawanan itu. Kita harus belajar daripada semua pemain itu.
"Kenapa Taiwan begitu baik dalam permainan mereka? Kenapa Thailand meningkat? Kenapa India meningkat? Kita tidak meningkat," kata James.
Penulis Jemputan
Tue Apr 10 2018