Skuad menembak negara masih resah memikirkan senarai nama yang belum dimuktamadkan oleh Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) untuk ke Sukan Asia Indonesia 2018 yang berbaki kurang daripada dua bulan lagi.
NSAM kini bertanggungjawab untuk membawa skuad menembak negara ke Jakarta selepas sukan itu berada dalam kategori B tetapi masih belum memuktamadkan senarai akhir atlet.
Apa yang pasti, jumlah atlet yang akan ke Sukan Asia bergantung kepada kemampuan pihak persatuan untuk menanggung perbelanjaan kontinjen sepenuhnya.
Situasi itu jelas memberi keresahan kepada sesetengah atlet yang belum selesa dengan kedudukan mereka ke Jakarta walaupun segala persiapan sudah dilakukan sebaik mungkin.
“Saya sendiri berasa was-was sama ada akan ke Sukan Asia atau tidak kerana ia masih dalam pemilihan, jadi saya cuma buat yang terbaik ketika sesi latihan,” kata seorang atlet.
Perancangan skuad menembak ke Korea Selatan juga dianggap sudah terkubur dan kini hanya Kejohanan Trofi Chia Woh di Lapang Sasar Subang bermula 1 Ogos depan akan menjadi ujian terakhir mereka sebelum ke Jakarta.
“Saya ingin membuktikan bahawa saya mampu meraih skor yang lebih tinggi berbanding sebelum ini. Dalam masa sama, fizikal saya juga perlu diperkuatkan lagi.”
Penulis Jemputan
Thu Jun 28 2018