Presiden Persekutuan Antarabangsa Petanque Dunia (FIPJP), Claude Azema, menganggap gelanggang Arena Petanque Kuala Lumpur yang bakal menjadi venue Sukan SEA Kuala Lumpur dari 19 hingga 30 Ogos depan mampu menganjurkan kejohanan bertaraf dunia pada masa akan datang.

Azema yang berada di Kuala Lumpur bagi mengendalikan kursus kejurulatihan tahap tiga, berasa kagum dengan kemudahan gelanggang petanque yang dimiliki negara.

Jelasnya, dengan jumlah gelanggang yang ada sebanyak 24 berbumbung serta lapan terbuka, Malaysia sudah tidak berdepan masalah jika mahu menganjurkan kejohanan sekurang-kurangnya bertaraf Asia atau dunia.

"Ia sudah memadai untuk menganjurkan Kejohanan Dunia. Cuma, bangku penonton perlu diletakkan.

"Bagaimanapun, ia adalah venue yang menarik.

"Dua tahun lalu, Tan Sri (Mohamad Noor Abdul Rahim) berkata kepada saya bahawa di Malaysia tidak mempunyai banyak gelanggang tetapi kini sudah cukup untuk menganjurkan Kejohanan Dunia," katanya.

Saranan Azema diterima baik Presiden Persekutuan Petanque Malaysia (PPM), Mohamad Noor, bahawa mereka sedia mengkaji perkara berkenaan.

Perkara yang menjadi kekangan PPM hanyalah kewangan memandangkan petanque masih dianggap sukan baru di negara ini.

"Kami sudah bersedia menjadi tuan rumah Kejohanan Dunia. Sebelum itu, saya perlu mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Insya-Allah, selepas Sukan SEA nanti (kami akan berbuat demikian)," ujarnya.