Dua atlet angkat berat negara, Aznil Bidin dan Aniq Kasdan, perlu bersaing sesama sendiri untuk merebut satu slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat, memaklumkan Aznil dan Aniq akan beraksi dalam kategori yang sama, iaitu bawah 61 kilogram, dan penyertaan mereka ke temasya terbesar itu akan bergantung kepada prestasi terbaik masing-masing.
Aznil, yang sebelum ini bersaing dalam kategori bawah 67 kilogram, perlu segera menyesuaikan diri dengan kategori barunya itu menjelang Kejohanan Kelayakan ke Sukan Olimpik Paris di Colombia hujung tahun ini.
Ayub berkata kepada wartawan Nadi Arena, Syen Yeoh: "Prestasi Aznil tidak begitu memberangsangkan dalam kategori B-67kg.
"Kalau kita lihat dalam Kejohanan Asia di Bahrain, dia mengangkat 291 kilogram dalam kategori B-67kg berbanding 283kg yang pernah dilakukannya ketika dalam kategori B-61kg sewaktu Sukan Komanwel Birmingham.
"Kita dapat lihat tiada peningkatan yang ketara, jadi untuk saingan di Colombia nanti, kami akan menghantar dua atlet elit ini untuk bersaing dalam kategori yang sama.
"Biarlah mereka bersaing sesama sendiri," katanya.
Muzaffar Musa
Tue Oct 11 2022