Bekas penyerang Terengganu FC, Lee Tuck, sah akan bersama Pahang dalam Liga Super musim 2021 tetapi kedudukan ketua jurulatih, Dollah Salleh, masih berada dalam pertimbangan pasukan itu.

Perkara itu dikongsikan pengurus skuad Tok Gajah berkenaan, Datuk Suffian Awang, sambil mengakui keadaan semasa yang masih terkesan dengan pandemik COVID-19 memerlukan pasukan itu untuk lebih berhati-hati dalam berbelanja.

Jelasnya lagi, pihaknya masih dalam proses perbincangan dengan Dollah dan keputusan mutlak hanya akan diketahui bulan depan.

"Lee Tuck sudah sah bersama Pahang (musim depan). (Tentang jurulatih) masih belum ada keputusan," katanya kepada Nadi Arena.

"Jika kepimpinan Pahang selepas ini mahu mengekalkan jurulatih Dollah dan saya sudah mengeluarkan kenyataan bahawa kami mahu mencari jurulatih baru, ia akan jadi tidak bagus. Tidak bagus untuk jurulatih Dollah dan pasukan ini.

"Kami mengambil risiko dan cabaran yang akan dihadapi pada ketika pandemik COVID-19 ini masih belum ada noktahnya.

"Jika anda tanya saya mengenai jurulatih, saya tidak boleh memberikan sebarang pengesahan.

"Tetapi secara realistiknya, adakah Liga Malaysia ini sudah sah akan diadakan degan statistik (kes positif) yang mendadak ketika ini," katanya.