Pemain import Terengganu, Kpah Sherman, gusar prestasinya mungkin merudum memandangkan hingga ke saat ini Terengganu belum berdepan sebarang aksi kompetetif.
Penjaring Terbanyak Liga Super 2019 itu mengakui ketiadaan perlawanan mampu meletakkan pasukannya di kedudukan tidak memihak kepada mereka berikutan penangguhan beberapa aksi terdahulu disebabkan isu COVID-19.
Dalam usaha mendapatkan tiga mata pertama Terengganu, Sherman menegaskan persediaan melalui aksi persahabatan dan latihan semata-mata tidak banyak membantu.
Ketika skuad Peteh masih belum diuji, pasukan lain telah pun memulakan aksi mereka dan semakin yakin dengan rentak awal saingan Liga Super musim ini.
"Sudah tentu ia akan memberi kesan.
"Pasukan lain sudah mengharungi beberapa perlawanan sedangkan kami belum turun untuk aksi sebenar dalam tempoh tiga bulan.
"Kami semua profesional dan harap mampu menyesuaikan diri," katanya ketika dihubungi Nadi Arena hari ini.
Terengganu bakal bertemu Petaling Jaya (PJ) City pada Rabu depan dan ia berlangsung ketika minggu pertama sambutan Ramadan.
"Permainan akan menjadi sedikit perlahan.
"Tapi kami harus berwaspada kerana PJ City pernah mengalahkan Melaka United.
"Saya harap sebagai pasukan kami fizikal cergas untuk mengharungi perlawanan ini," katanya lagi.
Shaiful Shamsudin
Tue Mar 29 2022